SHAH ALAM, 6 Mac- Perjumpaan dan perbincangan bersama pihak penstriman video dalam talian akan dilakukan bagi membendung penyebaran filem yang berunsur keganasan, lucah dan menyentuh sensitiviti agama.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata, pihaknya memandang serius isu filem Mentega Terbang yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mempersenda agama Islam.
(Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil)
Jelasnya, filem berkenaan sudah dikeluarkan daripada aplikasi penstriman dalam talian sejak 27 Februari lalu.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini sedang melakukan siasatan menyeluruh sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap produksi filem berkenaan.
"Ini satu perkara berkenaan isu keselamatan awam, isu yang kita tidak akan berkompromi. Maka kita akan memantau keadaan, sekiranya perlu kita akan memanggil penyedia perkhidmatan sekiranya berlaku sebarang perlanggaran sedia ada", katanya kepada media selepas sesi Townhall Rakyat di Shah Alam.
Beliau mengingatkan penggiat filem tanah air agar menghormati undang-undang terpakai terhadap karya yang dihasilkan.
Sejak minggu lalu, filem Mentega Terbang arahan sutradara muda, Khairil Anwar, tular selepas dikecam mengandungi babak yang menyentuh sensitiviti umat Islam.