fb fb fb fb fb

Isu buli: KPM pertimbang perjawatan warden bukan dalam kalangan guru

Fadhlina Sidek

NIBONG TEBAL, 30 Mac- Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa terbuka terhadap sebarang cadangan penambahbaikan termasuk perjawatan warden dalam kalangan bukan guru di sekolah berasrama dalam menangani pelbagai isu termasuk kes buli.

Menterinya, Fadhlina Sidek menjelaskan pelantikan warden daripada bukan guru perlu melihat kepada ekosistem sekolah dan asrama.

“Kita bersedia untuk mendengar semua pandangan tersebut, sebenarnya pandangan-pandangan tersebut telah dikemukakan sebelum ini.

"Saya fikir kita perlu lihat ekosistem secara keseluruhan sekolah itu, sama ada sesuai atau tidak untuk melantik orang lain sebagai warden, tapi cadangan tersebut kita pertimbangkan.

“Kita juga kena perkukuhkan semua ekosistem yang ada, untuk memastikan gejala buli ini benar-benar dapat ditangani di semua peringkat, khususnya peringkat sekolah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Ahli Parlimen Nibong Tebal di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), di sini, malam tadi.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan beberapa pihak terutama ibu bapa, yang mahu KPM agar menambah baik sistem perjawatan warden bagi menjamin keselamatan pelajar.

Mereka turut menyarankan agar jawatan warden tidak digalas oleh para guru bagi meringankan beban guru memikul dua tanggungjawab berat.

Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM juga sedang memperkasakan guru kaunseling untuk memberi sokongan kepada ekosistem displin di sekolah, dalam menangani dan membanteras kegiatan buli dalam kalangan pelajar.

Dalam masa sama, pihaknya sentiasa menambah baik dari semasa ke semasa garis panduan yang disediakan oleh KPM untuk mengatasi buli termasuk buli siber.

Tambah beliau, semua pihak juga perlu menyumbang saran dalam menangani isu tersebut di semua institusi KPM khususnya sekolah daripada menjadi masalah yang terus melarat.

SITI AISHAH MD ISA