fb fb fb fb fb

Isu bekalan makanan: NAFAS, ANGKASA bakal terlibat seluruh ekosistem industri ayam

(Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS dan Anggota Lembaga Angkasa
 bagi membincangkan langkah-langkah menjamin sekuriti makanan negara)


KUALA LUMPUR, 14 Jun- Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), diyakini berupaya membantu kerajaan dalam menangani masalah kenaikan harga ayam, menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah, menurut Ismail Sabri, inisiatif NAFAS dan ANGKASA untuk terlibat secara signifikan dalam industri ternakan ayam, selaras saranan Majlis Tindakan Ekonomi, sekali gus memperkukuh kerjasama awam dan swasta.

“NAFAS dan Angkasa akan terlibat dalam ekosistem industri ayam bermula daripada anak ayam, makanan ternakan, vaksin, reban, pusat pemprosesan, bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran dan pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna.

“NAFAS menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor setahun, manakala Angkasa sebanyak 30 juta ekor setahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Ismail Sabri mengadakan pertemuan dengan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS dan Anggota Lembaga Angkasa bagi membincangkan langkah-langkah menjamin sekuriti makanan negara.

(NAFAS dan Angkasa akan terlibat dalam ekosistem industri ayam bermula daripada anak ayam,
makanan ternakan, vaksin, reban, pusat pemprosesan, bilik sejuk beku, logistik, pusat pengedaran
dan pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna/FOTO HIASAN)


Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kedua-dua agensi juga lebih proaktif dalam industri penanaman jagung bijirin, bagi mengurangkan kebergantungan import makanan ternakan tersebut.

Katanya, bagi tujuan berkenaan, NAFAS telah mengenalpasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tanaman tembakau untuk tanaman jagung bijirin.

Manakala ANGKASA mengenalpasti kawasan tanah seluas 4,000 hektar di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Setiap hektar mampu mengeluarkan 5 tan jagung bijirin dan menampung 20 peratus keperluan import bijian itu dalam tempoh lima tahun ini.

“Usaha NAFAS dan Angkasa yang berskala besar ini diyakini dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap jagung bijirin bagi kegunaan makanan ayam. Ini kerana NAFAS mempunyai seramai satu juta ahli, manakala tujuh juta ahli bernaung di bawah Angkasa melalui 14,835 koperasi.

"Malah Angkasa juga diminta menerajui sektor koperasi dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

“Kerajaan menyambut baik inisiatif NAFAS dan Angkasa untuk terlibat secara signifikan dalam industri ternakan ayam. Ia selaras dengan saranan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang mahu kerjasama awam dan swasta diperkukuh bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya industri ternakan ayam,” katanya. 

NAFAS dan ANGKASA akan terlibat dalam keseluruhan ekosistem industri ayam sehingga bekalan sampai kepada pengguna.

Media Baharu