fb fb fb fb fb

Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai dari Ketereh ke Kok Lanas dikenal pasti alami kelewatan

KOTA BHARU, 14 Jun- Projek Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai (KB-KK) Pakej 2B dari Ketereh ke Kok Lanas sepanjang 6.2 kilometer dikenal pasti mengalami kelewatan lebih 100 hari daripada jadual yang ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata turut mengalami kelewatan ialah pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa.

Pembinaan Lebuhraya (KB-KK) bagi pakej berkenaan sepatutnya siap bulan lepas, manakala kelewatan berlaku terhadap pembinaan terminal baharu di LTSIP, Pengkalan Chepa.


(Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed)

"Masalah kenaikan harga bahan binaan di mana ada kontraktor yang sudah berjumpa dengan JKR menyatakan mereka tidak mampu lagi untuk menyiapkan projek.

"Untuk projek yang kedua, masalah utama ialah masalah kerja, masalah tenaga kerja. Yang ketiga adalah prestasi kontraktor yang tidak memuaskan, ini adalah tiga sebab utama.

Pihak terlibat termasuk JKR Kelantan telah diminta mengambil langkah proaktif untuk mencari jalan penyelesaian bagi memastikan pelaksanaan kedua–dua projek dapat diteruskan dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata demikian selepas Sesi Taklimat dan Mesyuarat Pengurusan Projek Pembangunan Kelantan di Kota Darulnaim, Kota Bharu.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan (Pembangunan), Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan Pengarah JKR kelantan, Ir Mohd Suhaili Ismail.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan sehingga Mei 2022, Kelantan telah membelanjakan hampir RM665 juta atau 27.8 peratus peruntukan pembangunan yang disediakan untuk melaksanakan hampir 400 projek di negeri itu.

Media Baharu