fb fb fb fb fb

Isu bahan cemar baharu, kerajaan ambil langkah proaktif

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berucap pada Majlis Penutup Bengkel Bahan Cemar Baharu 2025 di Putrajaya / Foto RTM

PUTRAJAYA, 26 Jun – Kerajaan terus komited mengambil langkah proaktif dalam memastikan kesiapsiagaan negara menangani potensi risiko pencemaran air pada masa hadapan.

Terutamanya melibatkan tiga elemen utama bahan cemar baharu iaitu Bahan Kimia Pengganggu Endokrin (EDC), Mikroplastik dan Kerintangan antimikrob (AMR).

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata antara inisiatif yang dilaksana termasuk penubuhan Jawatankuasa Kerja Bahan Cemar Baharu (JKKBCB).

Jawatankuasa itu berperanan mengkaji aspek penyelidikan, pemantauan dan dasar berkaitan pengurusan bahan cemar baharu.

“Meskipun dapatan awal menunjukkan kehadiran bahan ini masih pada tahap rendah pada sumber air negara, langkah ini diambil sebagai persediaan awal bagi memastikan negara bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan pencemaran baharu.

"Sehingga kini masih tiada piawaian antarabangsa yang jelas berkaitan bahan cemar baharu, namun perbincangan ke arah penetapan dasar sedang giat dijalankan di peringkat global." katanya.

Inisiatif tersebut sekali gus mencerminkan komitmen kerajaan dalam merangka dasar secara menyeluruh dan tidak hanya bertindak selepas sesuatu insiden berlaku.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena Majlis Penutup Bengkel Bahan Cemar Baharu 2025.

Lebih 60 pihak berkepentingan serta pemain industri daripada pelbagai kementerian, agensi dan organisasi berkaitan menyertai program tersebut.

Ia memberi fokus kepada perancangan hala tuju negara dalam menangani isu bahan cemar baharu secara komprehensif.

“Hasil perbincangan bengkel ini akan dibawa ke peringkat jawatankuasa berkaitan sebelum dibentangkan semula kepada Majlis Air Negara untuk pertimbangan dasar dan hala tuju selanjutnya." katanya.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ