fb fb fb fb fb

Istilah 'keling' bukan menghina, tetapi merujuk kepada penyampaian konteks

Datuk Seri Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 23 Disember- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bermaksud menggunakan perkataan "keling" untuk menghina mana-mana pihak ketika program Temu Anwar Dialog Mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak Khamis lepas.

Penggunaan istilah itu merujuk kepada petikan daripada buku bertajuk Hikayat Hang Tuah yang menceritakan Hang Tuah mempunyai penguasaan bahasa yang banyak termasuk bahasa Melayu, bahasa Arab, Siam dan bahasa Keling yang diambil daripada istilah kalinga.

"Sekarang ini, istilah keling tidak disenangi banyak pihak, jadi saya tidak gunakan. Saya cuma (ambil) quotes konteks dalam buku itu.

"Kalau ada yang salah faham, saya minta maaf, bukan niat saya. Saya orang terakhir yang melontarkan ekspresi menghina kaum dan agama," katanya pada Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian di sini.

Dalam pada itu, Anwar turut membuat satu hantaran berkenaan isu tersebut supaya tidak dijadikan senjata kepada isu perkauman serta dipolitikkan.

"Saya bukanlah individu yang suka bermain sentimen menghina kaum dan agama sehingga mencetuskan salah faham melibatkan mana-mana pihak.

"Sewaktu 'Sesi Dialog Perdana Menteri bersama Ketua Pengarang serta Pengarang-Pengarang Kanan Media Elektronik, Media Cetak dan Dalam Talian' hari ini, saya singgung dan jelaskan perkara tersebut supaya salah faham yang berlaku, dinoktahkan sebaiknya," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI