KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Istana Budaya menjemput orang ramai bagi memeriahkan Festival Merakyatkan Seni Warisan Akar Umbi, Laman Santai Malaysia Madani 2023 yang bakal berlangsung di Laman Beringin, Istana Budaya pada 4 dan November depan bermula pukul 10.00 pagi hingga 11.00 malam.
Menerusi satu kenyataan, Ketua Pengarahnya, Zubaidah Mukhtar berkata festival tersebut berkonsepkan santai dan terbuka kepada semua.
Para pengunjung akan turut disajikan dengan pelbagai acara seni warisan dan budaya antaranya seperti Makanan Warisan, Bengkel Muzik Borneo, Demonstrasi Silat, Solekan, Orang Asli,
Jom Belajar Seni Budaya, Persembahan Barongan, Kuda Kepang, Peragaan Busana Tradisional, Baju Kebaya dan Karaoke Santai.
"Antara artis jemputan yang bakal menggegarkan persembahan utama malam Laman Santai 2023 ini adalah seperti Datuk Hattan, Suki Low, Khai Bahar, Roy Kapilla, Rahmad Mega, Rahimah Rahim, Haziq dan ramai lagi.
"Dalam menyemarakkan lagi semangat perpaduan rakyat Malaysia melalui seni budaya, Istana Budaya turut menjemput sekumpulan anak seni dari Borneo seperti Tuku’ Kame’, Alun Menoa (Wanita Sape) dan Perintis Orkestra Tradisional Remaja Sarawak (POTRES) dalam mengetengahkan alunan muzik dan persembahan dari Bumi Kenyalang, Sarawak,"katanya.
Tambah Zubaidah, para pengunjung turut berpeluang menikmati pelbagai promosi daripada pelbagai Jabatan dan agensi Kerajaan yang turut serta menjayakan festival berkenaan.
"Masuk adalah percuma dan manfaatkan hujung minggu ini bersama keluarga dan rakan-rakan dalam memeriahkan lagi Festival Merakyatkan Seni Warisan Akar Umbi, Laman Santai Malaysia Madani 2023.
"Untuk maklumat terperinci, layari portal platfom media sosial Istana Budaya,"katanya.