fb fb fb fb fb

Penganjur konsert perlu guna "Kill Switch", elak insiden tidak diingini- Nie Ching

FOTO HIASAN/FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 30 Oktober -Penganjur konsert di negara ini diminta untuk menggunakan kaedah 'Kill Switch' bagi membolehkan elektrik diputuskan serta-merta sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini semasa persembahan.

Timbalan Menteri Komunikasi Dan Digital Teo Nie Ching berkata langkah berkenaan dilakukan susulan tindakan biadab Kumpulan 1975 pada suatu festival muzik yang diadakan Julai lalu.

"Kita telah meminta agar setiap pengajur konsert mempunyai suis bagi menghentikan persembahan sekiranya terdapat insiden yang tidak diingini berlaku.

"Penganjur dapat memotong bekalan elektrik secepat mungkin bagi menghentikan konsert", kata Nie Ching ketika menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail.

Sementara itu, Teo turut memaklumkan Dewan Rakyat berkaitan penambahbaikan terhadap garis panduan kemasukan artis luar yang melibatkan PUSPAL dan juga PDRM.

"Jawatankuasa PUSPAL telah meneliti garis panduan berkaitan artis luar negara. Manakala PDRM membantu dengan memeriksa latar belakang artis luar tersebut.

"Ini dilakukan agar artis-artis luar negara ini tidak mempromosikan unsur-unsur negatif di Malaysia", kata Nie Ching.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD