fb fb fb fb fb

Naik taraf infrastruktur jalur lebar di pedalaman sedang diperluas ke seluruh negara

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 30 Oktober- Memahami keperluan kesalinghubungan internet untuk semua rakyat, usaha menaik taraf infrastruktur jalur lebar di kawasan hulu sungai dan pedalaman sedang diperluas ke seluruh negara, secara berperingkat.

Setakat suku tahun kedua tahun 2023, dua daripada tiga menara bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Parlimen Lubok Antu, Sarawak telah siap beroperasi, manakala baki 35 lagi masih di pelbagai peringkat pelaksanaan.

Selain itu menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, 52 buah stesen pemancar yang dirancang untuk dinaik taraf juga telah siap sepenuhnya.

Beliau menjelaskan, kesemua inisiatif  yang dirancang dijangka akan siap dan beroperasi secara berperingkat pada penghujung tahun 2025. 

"Seterusnya 543 daripada 2,820 premis telah tersedia dengan sambungan gentian optik serta kesemua 26 lokasi yang dirancang untuk perkhidmatan jalur lebar melalui satelit BWA telah siap  beroperasi.

"Kerajaan juga turut melaksanakan penyediaan infrastruktur jalur lebar menggunakan kaedah Point of present  (POP) dengan izin had gentian optik. Secara  keseluruhannya, jumlah POP di Sarawak adalah sebanyak 741. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 25 POP berada di kawasan berhampiran sekolah, luar bandar di Parlimen Lubok Antu dengan dua POP terlibat menerusi pelaksanaan POP fasa 1 manakala baki 23 POP bawah fasa 2.

"Kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dalam pembangunan infrastruktur komunikasi adalah amat diharapkan agar perkhidmatan dapat diterima dengan lebih cepat,"katanya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE