KUALA LUMPUR, 22 April – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dipanggil semula oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 24 April ini bagi membantu siasatan berkaitan pengisytiharan harta.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata rakaman percakapan kali ini akan tertumpu kepada pengisytiharan harta yang dibuat oleh beliau kepada SPRM di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
“Pada Khamis, 24 April 2025, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dipanggil semula ke SPRM untuk meneruskan rakaman percakapan beliau, dan seperti saya sebutkan sebelum ini, siasatan kali ini berfokus kepada pengisytiharan harta,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.
Kali terakhir, Ismail Sabri dirakam keterangan pada 24 Mac lalu di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan perbelanjaan serta dana promosi program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatannya dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Dalam perkembangan lain, SPRM akan membuka semula siasatan berhubung isu pencerobohan hutan di Raub, Pahang yang melibatkan tanah kerajaan negeri yang dijadikan ladang durian secara haram.
Azam berkata, pihaknya telah mengarahkan SPRM Pahang untuk meneruskan siasatan menyeluruh berkaitan dua aspek utama iaitu unsur rasuah dalam pencerobohan serta isu tadbir urus di pejabat tanah.
“Saya telah pun mengarahkan SPRM Pahang untuk meneruskan siasatan. Kita juga melihat dua perkara – pertama isu-isu rasuah bagaimana pencerobohan haram boleh berlaku dalam tempoh tertentu, dan kedua, isu ketelusan tadbir urus di pejabat tanah serta Pejabat Tanah dan Galian.
“Jadi, hari ini, siasatan menyeluruh akan dijalankan oleh SPRM Pahang dalam hal ini,” katanya.
Untuk rekod, siasatan berkenaan mula dibuka oleh SPRM pada tahun 2021 melibatkan aktiviti pencerobohan tanah di Raub yang ditanam dengan durian secara tidak sah.