fb fb fb fb fb

Islamofobia, bukan isu negara Islam semata-mata - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 7 Oktober- Ketegasan perlu disuarakan berhubung isu layanan tidak adil terhadap golongan minoriti termasuk isu Islamofobia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata semua pihak perlu bersatu, bukan hanya membabitkan negara Islam semata-mata.

"Saya turut bersimpati dengan situasi mereka. Pada pandangan saya, ini adalah tanggungjawab bukan sahaja negara-negara Islam tetapi juga negara-negara di seluruh dunia."

"Dengan menyuarakan bantahan terhadap sebarang bentuk layanan tidak adil terhadap golongan minoriti di mana-mana sahaja."

"Kita juga mengambil berat tentang golongan ini dan dengan moral yang tinggi, kita akan terus menyuarakan pandangan," kata Anwar dalam wawancara bersama wartawan dan pengacara popular, Mehdi Hassan.

Justeru, Perdana Menteri menggesa komuniti antarabangsa menamatkan amalan diskriminasi yang berleluasa.

Dalam temubual sama, Perdana Menteri turut menyentuh mengenai pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza.

Beliau dengan lantang mengkritik sokongan barat terhadap Zionis termasuklah dasar Amerika Syarikat di bawah bekas Presiden Donald Trump yang dilihat mengamalkan dasar anti-Islam dan mencetus sentimen Islamofobia global.

"Hipokrasi ketara oleh banyak negara barat yang membiarkan perkara ini berlaku adalah sangat mengejutkan. Kita perlu bersuara."

"Saya percaya, ini bukan sahaja pandangan individu, tetapi ia juga mewakili suara hati majoriti rakyat Malaysia," tambah Anwar.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM