KUANTAN, 28 Mei- Al-Quran bukan sekadar untuk dipertandingkan bacaannya atau untuk majlis tilawah semata-mata.
Itu titah Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah.
Titah baginda, menghayati isi kandungan dan pengajaran daripada al-Quran adalah perlu sebagai umat islam.
Titah baginda lagi, al-Quran mempunyai kesaling hubungan serta panduan kepada manusia merangkumi pelbagai aspek kehidupan.
"Menghayati al-Quran sebagai panduan lengkap kepada manusia dalam pelbagai aspek kehidupan seperti hubungan keluarga, hubungan masyarakat, penjagaan alam sekitar, sains, politik, agama, undang-undang, pentadbiran, ekonomi, pengurusan harta, perubatan dan lain-lain lagi.
"Manfaat al-Quran tidak dapat disangkal sama sekali, malah, kebaikannya merangkumi umat manusia sejagat, maka setiap intipati al-Quran perlu dihayati dalam usaha kita menjadikan negara ini sebagai negara yang baik,"titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Perasmian Penutup Majlis Tilawah Dan Hafazan Al Quran Peringkat Kebangsaan, di Auditorium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.
Dalam pada itu baginda turut menyeru setiap umat Islam untuk menjadikan al-Quran sebagai bahan bacaan utama setiap isi rumah.
Titah baginda, setiap isi rumah bukan sahaja perlu mempunyai kitab suci al-Quran, tetapi juga naskhah tafsir Al-Quran sebagai rujukan, serta memanfaatkan masa bersama keluarga membaca dan tadabbur al-Quran secara berjemaah.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, dan Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hakimah Mohd Yusoff.