fb fb fb fb fb

Mohamad Husaini, Nor Hidayah dinobat johan qari, qariah MTHQK 2024

Johan qari MTHQK 2024, Mohamad Husaini Mahmur menerima hadiah daripada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah

KUANTAN, 28 Mei- Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 2024 yang melabuhkan tirainya sebentar tadi menyaksikan Johan Menunggu, Nor Hidayah Abd Rahman dinobatkan sebagai johan qariah sementara Mohamad Husaini Mahmur yang mewakili Negeri Sembilan dinobatkan johan qari.

Mengumpul markah tertinggi, 89 peratus melayakkan Mohamad Husaini diangkat selaku juara mengenepikan wakil Terengganu Abdul Hadi Che Abdul Halim di kedudukan kedua manakala Mohamad Syaheed Sabri, wakil tuan rumah di kedudukan ketiga.

Bagi kategori Qariah pula, Nor Hidayah Abd Rahman mengumpul markah tertinggi 85.66 peratus, manakala Nadrah Ahmad Mardzuki di tempat kedua dengan 85 peratus dan wakil Terengganu, Nor Jannah Abd Rahman, ketiga.

Selaku juara, Nor Hidayah dan Mohamad Husaini menerima hadiah wang tunai RM20,000, wang tunai tambahan menunaikan fardu haji sebanyak RM10,000, piala, cenderamata dan sijil.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah berkenan menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Sementara itu, johan hafiz Tahap 1-30 Juzuk menjadi milik wakil Kedah, Muhammad Rifae'i Mat Zuki manakala Putri Aminah Binti Mohd Hanif, dinamakan sebagai johan hafizah.

Kesemua pemenang setiap kategori akan mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa.

Seramai 29 peserta, masing-masing 14 qari dan qariah serta seorang johan menunggu qariah menyertai tilawah, manakala 81 peserta bagi hafazan kali ini.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE