KUALA KEDAH, 21 Jun - Seekor ikan lumba-lumba 'Irrawaddy' daripada spesies marin terancam ditemukan mati akibat tersangkut pukat pari haram yang ditinggalkan, di perairan Kuala Kedah, semalam.
Ikan lumba-lumba itu atau turut dikenali sebagai empesut merupakan spesies unik yang semakin pupus di Asia Tenggara termasuk Malaysia.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, ikan itu ditemukan pada pukul 11.00 pagi, kira-kira 1.1 batu nautika dari muara Kuala Kedah oleh pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) ketika menjalankan rondaan rutin.
"Pihak kami juga, merampas sebidang pukat pari dianggarkan bernilai RM2,000 yang diwartakan sebagai haram bawah Akta Perikanan 1985 kerana sifatnya tidak selektif, bukan sahaja memerangkap pari dan anak ikan tetapi juga mengancam spesies marin dilindungi," katanya menerusi kenyataan.
Noor Azreyanti berkata rampasan terbaru itu menjadikan enam siri rampasan pukat pari berjaya dilaksanakan Zon Maritim Kuala Kedah setakat ini.