fb fb fb fb fb

IRDA sasar capai jumlah pelaburan RM636 bilion- Anwar

FOTO Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 23 April- Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) menyasarkan untuk mencapai jumlah pelaburan yang direkodkan (kumulatif) sebanyak RM636 bilion dengan kadar pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak antara 5.5 sehingga 6.5% dan KDNK per kapita sebanyak RM58,800 pada tahun 2030.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi catatan facebook berkata usaha-usaha bagi mencapai sasaran tersebut adalah antara strategi Iskandar Malaysia dalam menyumbang kepada sasaran Ekonomi MADANI untuk menjadi 30 ekonomi terbesar dunia dan tangga ke-12 teratas dunia dalam daya saing global.

"Saya percaya, sasaran pertumbuhan Iskandar Malaysia ini turut akan dipacu oleh inisiatif-inisiatif yang telah saya umumkan seperti Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Zon Kewangan Khas Forest City", katanya.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mempengerusikan Mesyuarat Ahli Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) ke-32 hari ini memaklumkan mesyuarat itu antara lain telah meneliti cadangan hala tujunya sebagai Pihak Berkuasa Koridor dan penyelarasan Pelan Pembangunan Komprehensif iii Iskandar Malaysia (CDPiii) 2022 -2030 di bawah agenda Ekonomi MADANI.

Beliau berkata perkara itu adalah selari dengan keputusan kerajaan bagi menyusun semula landskap agensi pengalakkan pelaburan negara yang dimulai dengan penyelarasan fungsi dan peranan koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan.

Selain itu, mesyuarat turut membincangkan inisiatif-inisiatif strategik iaitu menambahbaik Pusat Khidmat Pelaburan Iskandar Malaysia (IMISC), selain meningkatkan sosio-ekonomi melalui padanan pekerjaan yang saksama.

ROSLINA BINTI DIN