fb fb fb fb fb

Iran kembali laksana hukuman gantung di khalayak ramai

PARIS, 24 Julai- Iran semalam melaksanakan hukuman gantung sampai mati untuk kali pertama dalam tempoh lebih dua tahun, kata sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut mengecam tindakan itu sebagai amalan kuno.

Kebimbangan semakin meningkat susulan penindasan terus berleluasa di republik Islam itu.

Iman Sabzikar, yang disabitkan kesalahan kerana membunuh seorang pegawai polis pada Februari lalu di bandar selatan Shiraz, telah digantung pada awal pagi di tempat kejadian, kata NGO Iran Human Rights (IHR) yang berpangkalan di Norway.

IHR berkata, media Iran telah melaporkan mengenai pelaksanaan hukuman mati secara terbuka membabitkan banduan yang dikenal pasti sebagai Sabzikar.

Hukuman gantung di khalayak ramai ke atas banduan itu telah disahkan oleh Mahkamah Agung pada awal bulan ini.

"Pelaksanaan semula hukuman kejam di khalayak ramai ini bertujuan menakutkan dan mengancam orang ramai daripada melakukan protes," kata pengarah IHR, Mahmood Amiry-Moghaddam.

Tular imej didakwa hukuman gantung sampai mati di media sosial menunjukkan seorang lelaki yang memakai baju penjara Iran, berjalur biru muda dan hitam tergantung beberapa meter pada tali yang dipasang pada kren di atas trak.

Hukuman mati di Iran biasanya dilaksanakan di dalam penjara dan aktivis berkata, hukuman mati di hadapan orang awam dibuat sebagai satu bentuk pengajaran, terutama apabila jenayah itu membabitkan pembunuhan anggota pasukan keselamatan.

IHR berkata, hukuman mati di khalayak ramai itu kali terakhir dilaksanakan pada 11 Jun 2020.

Katanya lagi, empat lelaki yang kesemuanya turut dijatuhi hukuman mati kerana membunuh anggota polis dalam kes berasingan kini berdepan risiko dihukum gantung di khalayak ramai.

IHR berkata, jumlah hukuman mati pada tahun ini meningkat dua kali ganda pada separuh pertama berbanding tahun lalu.

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kumpulan aktivis telah menyuarakan kebimbangan susulan tindakan keganasan yang semakin meningkat di Iran kerana negara itu berdepan protes luar biasa berikutan krisis ekonomi. - AFP

(FOTO REUTERS)

Media Baharu