SERDANG, 21 November- Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan pemain industri diseru berkongsi kepakaran meneroka tenaga boleh baharu yang akan menjadi pemangkin perubahan dalam ekonomi kitaran negara.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata usaha itu dapat membantu meningkatkan produktiviti dan kecekapan pengurusan kos secara tidak langsung melancarkan operasi universiti dan industri masing-masing.
"Kementerian sentiasa komited menyokong dasar berhubung penjanaan tenaga komprehensif dan kompetitif, dalam masa sama memelihara kemampanan alam sekitar," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Pengiktirafan Malaysia Book Of Records (Projek Rooftop Solar PV Berskala Besar) Universiti Putra Malaysia (UPM).
Datuk Mustapha juga berharap kerjasama semua pihak dapat menghasilkan lebih banyak inovasi dalam mengintegrasi prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus IPT demi masa depan negara.
"Memang kita ingin bersedia supaya kita beralih daripada tenaga yang dah siap sekarang ini kepada tenaga boleh baharu terutama penggunaan solar.
"Banyak kajian yang dibuat salah satunya apa yang dibuat UPM ini salah satu sumber untuk pelajar-pelajar kita mengkaji bagaimana penggunaan sistem solar ini dan juga melibatkan universiti-universiti yang lain," katanya.
Beliau berkata apa yang penting Kerajaan mahu mencapai sasaran meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) sebanyak 70 peratus menjelang 2050.
"Inisiatif projek solar di IPT adalah selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Fasa 1 dalam usaha kerajaan mencapai hasrat ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050, katanya.