fb fb fb fb fb

Internet untuk pembelajaran: Kawasan berkepadatan rendah, pedalaman dipastikan ada liputan

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2024, di Kuantan / Foto Bernama

KUANTAN, 16 Mei - Kawasan berkepadatan rendah, desa dan pedalaman dipastikan akan mempunyai liputan internet secukupnya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata ia bagi memudahkan pelajar mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Ini juga bagi memastikan tiada lagi situasi dimana pelajar terpaksa memanjat pokok hanya untuk mendapatkan liputan internet.

"Saya sudah maklumkan kepada Menteri Digital (Gobind Singh Deo), mulai akhir tahun ini sehingga seterusnya tidak ada lagi pelajar yang panjat pokok untuk dapatkan liputan kerana kita ada 5G.

"Kita ada 5G, maka hal ini kita akan terus buat liputan bagi kawasan penduduknya rendah, agar dapat memberikan liputan terutamanya di kawasan Felda, desa, Orang Asli dan pedalaman wajib diberikan liputan secukupnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2024, di sini.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata sistem pendidikan perlu melahirkan murid yang mahir dalam teknologi baharu.

Ini bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan dengan evolusi dunia digital.

"Pada masa yang sama, sistem pendidikan kita perlu melahirkan murid fasih teknologi digital agar mereka dapat dipersiapkan untuk bersaing dan memenuhi keperluan pasaran pekerjaan yang selari dengan evolusi dunia digital.

"Malaysia telah menunjukkan kemajuan yang amat ketara dalam usaha pendigitalannya sejak beberapa tahun kebelakangan ini apabila pihak kerajaan dan swasta bekerjasama melabur dalam teknologi serta infrastruktur digital," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara mengharapkan semua warga pendidik dapat memperkasakan bidang tersebut.

Beliau berkata, kerajaan turut proaktif memperkenalkan sistem permohonannya menerusi Unit Pengurusan Universiti (UPU), membabitkan
1,345 institusi TVET.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN