PUTRAJAYA, 12 November – Nilai integriti, amanah dan pertanggungjawaban perlu menjadi pegangan dan tunjang utama setiap pemimpin serta penjawat awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, nilai-nilai tersebut perlu dihayati dalam usaha mengangkat martabat negara serta membela nasib golongan yang terpinggir.
Tambah beliau, setiap pemimpin dan penjawat awam perlu menilai sejauh mana amanah yang dipikul dilaksanakan dengan sebaiknya, tanpa dipengaruhi pangkat, darjat atau kedudukan.
“Kita perlu menyentuh hati nurani sendiri dan menilai sejauh mana kita melaksanakan tugas dengan sebaiknya. Pangkat, darjat, anugerah atau kedudukan tinggi seharusnya menjadi lambang amanah yang ditunaikan dengan penuh tanggungjawab.
“Tidak kira sama ada kita berperanan sebagai Ketua Setiausaha, Ketua Jabatan, Ketua Setiausaha Negara atau Perdana Menteri sekalipun, yang paling penting ialah sejauh mana tugas dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, ketelusan dan tanggungjawab,” jelas beliau pada Majlis Anugerah Pembangunan Negara 2025 di sini, pada Rabu.
Tambah Datuk Seri Anwar, setiap idea dan inisiatif yang dibawa mestilah benar-benar berfokus kepada usaha membangunkan negara dan memacu kesejahteraan rakyat.