fb fb fb fb fb

ECRL bakal tingkatkan unjuran KDNK Terengganu lebih RM48 bilion menjelang 2040

 

KUALA TERENGGANU, 12 November - Pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur-ECRL dijangka meningkatkan lagi unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar-KDNK Terengganu kepada RM48.2 bilion menjelang 2040,berbanding RM34 bilion pada 2020.
 
 
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, berkata unjuran itu mewakili peningkatan purata tahunan sekitar 1.8 peratus sepanjang tempoh pelaksanaan projek.

Katanya lagi, ini menunjukkan projek Kerajaan Persekutuan itu bakal memberi impak pertumbuhan ekonomi yang signifikan terhadap Terengganu.

Jelasnya unjuran berkenaan mengambil kira kesan langsung dan tidak langsung daripada aktiviti pembinaan serta operasi ECRL.

Antaranya peningkatan pelaburan sektor perindustrian dan logistik, pertumbuhan perdagangan dan pelancongan, serta pembangunan berorientasikan transit TOD, di sekitar stesen utama seperti Jerteh, Bandar Permaisuri, Kuala Terengganu, Dungun, Kemasik dan Chukai.
 
Beliau berkata demikian pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Mohd Nurkhuzaini seterusnya menjelaskan, projek ECRL secara keseluruhan bukan sahaja memperkukuh rangkaian pengangkutan serantau, malah menjadi pemangkin utama kepada pembangunan ekonomi negeri dengan membuka peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan daya saing Terengganu dalam ekosistem ekonomi Pantai Timur.
 
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer itu dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri melalui peningkatan pelaburan, perdagangan serta kemudahan mobiliti rakyat dan perkhidmatan kargo.
 
 
 
 

 
 

NORZAINAH ZAINAL ABIDIN