RAWANG, 3 November- Seramai 2,810 graduan berjaya dilahirkan Institut Kraf Negara (IKN) sejak tahun 2001 hingga 2021.
Data Pengesanan Graduan IKN turut menunjukkan 83 peratus atau 2,323 orang graduan berjaya menembusi pasaran pekerjaan dalam pelbagai bidang.
Jumlah tersebut merangkumi 1,161 orang atau 41 peratus terlibat secara langsung dalam industri kraf dan 983 orang atau 35 peratus bekerja dalam pelbagai sektor awam dan swasta.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Saraya Arbi berkata graduan IKN tidak sekadar memartabatkan warisan pembangunan industri kraf, malah telah berjaya membawa nama negara ke peringkat antarabangsa.
"Tapi kalau kita teliti dan lihat berbanding dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam yang lain, saya rasa IKN ini lagi tinggi peratusan dia.
"Kalau yang lain itu tak silap saya antara 75 sehingga 80 peratus, kalau kita tengok IKN ini hampir setiap tahun 80 ke atas, bagi saya apa yang penting di sini adalah kemahiran itu sendiri.
"Jadi ini merupakan satu bidang kemahiran yang saya rasa sesuai untuk diterokai oleh pelajar dan belia yang muda," katanya.
(Datuk Saraya Arbi)
Beliau ditemui media pada Majlis Istiadat Konvokesyen IKN ke-20 tahun 2022 di IKN, di sini hari ini.
Saraya turut yakin IKN akan terus menyediakan peluang dan pilihan kepada masyarakat dalam memastikan kelestarian pembangunan industri kraf negara.
Seramai 93 orang graduan menerima sijil dan diploma pada majlis tersebut.