KUALA LUMPUR, 22 Februari – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengarahkan kajian semula dan penambahbaikan aspek keselamatan di semua stesen Transit Aliran Ringan (LRT), khususnya melibatkan kemudahan untuk golongan orang kurang upaya (OKU).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata kementerian kini bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan, termasuk Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi menjalankan siasatan terperinci serta mengambil langkah-langkah pencegahan.
"Smart CCTV yang berupaya mengesan perilaku berisiko akan dipasang di stesen. Dalam jangka panjang, Prasarana merancang untuk memasang Platform Screen Doors (PSD) di semua laluan LRT bagi memperkukuh keselamatan penumpang," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Loke turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa insiden di Stesen LRT Titiwangsa pagi tadi, yang meragut nyawa seorang penumpang.
Terdahulu, seorang lelaki OKU penglihatan dilaporkan maut selepas terjatuh di landasan sebelum digilis tren LRT.
Dalam pada itu, Loke menasihatkan penumpang yang memerlukan bantuan tambahan, termasuk OKU, agar menghubungi kakitangan Prasarana atau polis bantuan di stesen bagi memastikan keperluan mereka diberi perhatian sewajarnya.
"Keselamatan dan kebajikan penumpang sentiasa menjadi keutamaan kami. Kerajaan komited untuk memastikan sistem pengangkutan awam yang lebih selamat, inklusif, dan mesra pengguna demi kebaikan semua rakyat Malaysia," tambah Loke