fb fb fb fb fb

280 OKU Johor terima lesen memandu percuma melalui Program Sinergi Mobiliti OKU

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin Nisa Ismail / Foto RTM

JOHOR BAHRU, 22 Februari-Seramai 280 Orang Kurang Upaya (OKU) di Johor, bakal menerima manfaat menerusi Sinergi Mobiliti OKU, yang menawarkan lesen memandu motosikal Kelas B2 secara percuma, kepada golongan berkenaan.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Khairin Nisa Ismail berkata, program yang pertama kali dianjurkan itu sedang dilaksanakan dengan menyasarkan lima individu OKU daripada setiap 56 DUN.

Jelasnya, inisiatif berkenaan turut menyasarkan golongan OKU yang tidak pernah memiliki sebarang lesen memandu.

Menurutnya proses mendapatkan lesen memandu itu mengambil masa kira-kira lima bulan, termasuk menghadiri kelas memandu, kursus, dan saringan.

"YPK buat satu program di bawah Yayasan Pembangunan Keluarga adalah mobiliti OKU itu adalah program memberi lesen percuma kepada OKU.

"Lesen kali pertama kepada OKU jadi program ini akan berjalan pada tahun ini dan sedang dilaksanakan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta'zim", katanya demikian selepas ditemui pemberita selepas merasmikan Program Pemerkasaan Orang Kurang Upaya dan Wanita (PESONA) 2025 di Sireh Park, Iskandar Puteri, di sini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD