fb fb fb fb fb

Insiden latihan menembak: Koperal Udara Syuib Bidin meninggal dunia

(FOTO IG tudm_rasmi)

GEMAS, 26 Jun- Seorang lagi disahkan meninggal dunia susulan insiden kemalangan semasa menjalani Latihan Menembak Senjata Bantuan dan Bom Lempar Penuntut Kursus Pembantu Pertahanan Kelas Satu (KPP Kls Satu) Siri 78 Palang 23 di Tapak Latihan Grenade Asas, Lapang Sasar Kem Syed Sirajuddin, Gemas Negeri Sembilan.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TDUM) menerusi satu kenyataan memaklumkan, mangsa, seorang jurulatih disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 5.45 petang di Hospital Segamat, Johor akibat mengalami kecederaan parah.

Allahyarham Koperal Udara Syuib Bidin, 33 tahun merupakan jurulatih di Institut Pengajian Pentadbiran dan Pengurusan (INSTAR), Pangkalan Udara Sendayan.

Terdahulu, dalam insiden yang berlaku pada pukul 12.10 tengah hari 25 Jun, tiga anggota TUDM yang terdiri daripada seorang penuntut dan dua orang jurulatih terbabit dalam kemalangan ketika menjalani latihan menembak senjata dan bom lempar.

Allahyarham Laskar Udara I Mohd Iqmal Masdi, merupakan penuntut bagi KPP Kelas 1 Siri 78/23 disahkan meniggal dunia di tempat kejadian.

Manakala seorang lagi jurulatih, Koperal Udara Khairuzaman Lokman kini menerima rawatan di Hospital Segamat, Johor dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan serta pucuk pimpinan tertinggi TUDM menzahirkan rasa dukacita atas kejadian yang berlaku dan merakamkan salam takziah kepada waris anggota yang meninggal dunia yang juga merupakan kehilangan besar kepada TUDM.


(FOTO HIASAN)

Media Baharu