fb fb fb fb fb

Insiden bot terbalik, seorang nelayan ditemui lemas

Mayat Chia Kah Chong, 51, ditemukan pada pukul 7 malam pada Sabtu oleh nelayan lain yang kebetulan lalu berhampiran lokasi bot tersebut terbalik / Foto FB Maritim Malaysia

BATU PAHAT, 23 Jun - Tekong bot nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki bersama empat yang lain terbalik kira-kira 6.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting di sini pada Jumaat lepas, ditemukan lemas pada 7 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus berkata mayat Chia Kah Chong, 51, ditemukan nelayan lain yang kebetulan lalu berhampiran lokasi bot tersebut.

"Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat sebelum diserahkan kepada polis dan dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat," katanya menerusi kenyataan.

Tiga lagi mangsa iaitu Lee Pong Ling, 68, Tan Hai Lian, 62, dan Raud Darus@Hamid, 53, masih belum dijumpai.

Bagaimanapun seorang mangsa Tan Siak Bin, 43, terselamat dalam kejadian itu selepas ditemui nelayan lain yang melalui tempat kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, bot dinaiki kelima-lima mangsa dipercayai terbalik setelah dilanda ombak kuat akibat cuaca buruk.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN