MEKAH, 22 Jun - Kerajaan Negeri Selangor akan mengkaji keperluan menambah baik sumbangan Insentif Haji Muassasah kepada bakal jemaah dari negeri itu tahun hadapan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata ia susulan penajaan penuh kos perjalanan 36 jemaah haji dan peningkatan sumbangan insentif Muassasah kepada RM1,000 yang dilaksana tahun ini.
Beliau berkata, peningkatan sumbangan itu membantu jemaah terutama melibatkan kos sarapan pagi di tanah suci.
"Kerajaan negeri akan cuba kembangkan lagi program ini berdasarkan maklum balas yang kita dapat daripada para peserta atau mereka yang terlibat pada musim haji kali ini," katanya.
Beliau ditemui pada Majlis Makan Malam bersama Jemaah Haji Negeri Selangor di Hotel Makareem Ajiyad, di sini pada Sabtu.
Amirudin turut memuji kecekapan Tabung Haji (TH) dalam mengurus perjalanan haji para ‘Dhuyufurrahman’ sehingga memenangi anugerah Labbaitom yang diberi Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi baru-baru ini.