KAPIT, 10 Mac- Mangsa ketiga tragedi bot karam di Kapit ditemukan oleh orang awam di perairan Batang Lebaan, Bintangor pada pukul 12.00 tengah hari semalam.
Ketua Balai Bomba Kapit Timothy Barat ketika dihubungi petang tadi berkata, mayat mangsa dihantar ke hospital Sibu.
"Identiti mangsa telah dikenal pasti oleh ahli keluarganya di Hospital Sibu pada pukul 12.00 tengah hari tadi.
"Mangsa dikenal pasti sebagai Amerson John Nain, 47 tahun," katanya.
Setakat ini, tinggal seorang lagi mangsa yang masih belum jumpa iaitu Konstabel Iskandar Zulkarnain Ibrahim, 27 tahun.
Sementara itu, dua mangsa iaitu Jack anak Balan dan Sarjan Jonathan Lambet telah ditemukan orang awam pada semalam.
Pada petang Khamis lepas berlaku insiden bot yang dinaiki lima individu terbalik lalu karam di lokasi Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti SK Lepong Baleh, Kapit selepas melanggar air berpusar di lokasi kejadian.
Manakala seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Moses Ngui berjaya diselamatkan orang awam yang melihat kejadian itu.