KUALA LUMPUR, 23 November- Beberapa inovasi dan inisiatif daripada 14 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) diperkenalkan di reruai Pavilion Al-Falah bersempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hassan, menyatakan bahawa pameran kali ini menampilkan robot dan hologram sebagai medium penerangan yang berkesan mengenai khidmat serta fungsi agensi-agensi Islam.
Selain itu, aplikasi digital dan pameran maklumat berkaitan agensi turut diperkenalkan.
"Pavilion Al-Falah turut mengedarkan naskhah al-Quran secara percuma serta Buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam.
"Agensi Hal Ehwal Agama juga menyediakan beberapa perkhidmatan kepada pengunjung, termasuk konsultasi, khidmat nasihat, dan runding cara," katanya menerusi perkongsian di laman sosialnya.
Dalam lawatannya ke reruai tersebut, Zulkifli turut mencuba simulasi haji dan umrah menggunakan teknologi Realiti Maya (VR) yang dibangunkan oleh Tabung Haji.