KUALA LUMPUR, 24 Mac– Bersempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Kumpulan MBSB melancarkan pelbagai inisiatif kemasyarakatan dengan sumbangan melebihi RM460,000 bagi membantu golongan kurang bernasib baik di seluruh negara.
Menurut Pengerusi Kumpulan MBSB, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad, usaha tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga bertujuan memperkukuh nilai perpaduan serta kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
Sebanyak RM52,000 diperuntukkan untuk program Membeli-Belah Raya dan Agihan Duit Raya kepada 190 kanak-kanak di Shah Alam, Ipoh, dan Kuantan. Inisiatif itu membolehkan anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah mendapatkan pakaian baharu bagi menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria.
Selain itu, RM160,000 disalurkan kepada 16 pertubuhan amal, termasuk rumah anak yatim, rumah kebajikan, serta sekolah agama. Setiap institusi menerima RM10,000 bagi memastikan kelangsungan operasi dan kebajikan penghuni terus terpelihara.
Dalam usaha memperluaskan impak kebajikan, MBSB turut menyalurkan RM252,000 untuk tajaan penuh hidangan berbuka puasa buat kanak-kanak di Yayasan Chow Kit. Program melibatkan dua lokasi utama iaitu KL Pad Krash di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Pusat Kanak-Kanak di Jalan Chow Kit.
Menariknya, tahun ini MBSB turut memperkenalkan program Fast-a-Thon, yang menggalakkan kakitangan bukan Muslim untuk merasai pengalaman berpuasa dan berbuka bersama rakan sekerja Muslim. Inisiatif tersebut bukan sahaja mengeratkan hubungan di tempat kerja, malah menyemarakkan semangat keharmonian dan perpaduan.
"Di Kumpulan MBSB, Ramadan adalah masa untuk kami memperkukuh komitmen kepada masyarakat. Kami bukan sahaja menyalurkan bantuan kewangan, tetapi juga berusaha mencipta impak berpanjangan dengan menyokong golongan memerlukan serta menyemai rasa kebersamaan sepanjang bulan mulia ini," kata Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.
Kumpulan MBSB turut menegaskan peranannya sebagai institusi yang prihatin terhadap kebajikan masyarakat.
"Komitmen ini tidak terhenti pada bulan Ramadan sahaja, tetapi diteruskan sepanjang tahun bagi memastikan kesejahteraan golongan yang memerlukan sentiasa terbela," jelas MBMB.