fb fb fb fb fb

Inisiatif PUJI bantu basmi miskin tegar di Wilayah Persekutuan

Foto RTM

LABUAN, 26 April - Kerajaan akan terus berusaha menoktahkan kemiskinan melalui Program Pembasmian Miskin Tegar di Wilayah Persekutuan.
 
Di Labuan, seramai 224 Ketua Isi Rumah (KIR) iaitu 63.46 peratus berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan. Ia berbanding 353 orang daripada Program Pembasmian Miskin Tegar yang dijalankan pada Disember 2023.

Demikian dinyatakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa dalam Sesi Libat Urus Santuni Ketua Isi Rumah Program Pembasmian Miskin Tegar di Labuan lewat pagi tadi bertempat di Dewan Sri Labuan.

Melalui program itu, seramai 129 KIR yang hadir akan disalur mengikut enam inisiatif Program Usaha Jaya Insan (PUJI) iaitu Ihsan@PUJI, Upaya@PUJI, Lindung@PUJI, Ilmu@PUJI, Sihat@PUJI dan Infra@PUJI.

Program di perkenal sebagai wadah baharu usaha pemampanan sosioekonomi golongan rentan di Wilayah Persekutuan.

"Daripada inisiatif PUJI itu kita boleh salurkan mereka bergantung pada inisiatif-inisiatif yang kita ada, contohnya mereka memerlukan bantuan.

"Jadi kita arahkan mereka kepada program Ihsan@PUJI, dan kalau mereka boleh kita naikkan taraf mereka, agar kita salurkan mereka kepada upaya@PUJI.

"Ini adalah satu program yang kita akan perkemas perluaskan supaya akhirnya kita dapat membantu mereka-mereka yang memerlukan ini dari sudut menerima bantuan dan juga akhirnya kalau boleh kita keluarkan mereka daripada kelompok kemiskinan itu yang terbaiknya", kata Dr Zaliha di sini.

Tambahnya, Lindung@PUJI akan diperkenal di Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

Hadir sama Ahli Parlimen Labuan Dato’ Indera Dr. Suhaili Abdul Rahman, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan sosioekonomi) Jabatan Wilayah Persekutuan Dato’ Parang Abai@Thomas, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Rithuan Mohd Ismail.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD