KUALA TERENGGANU, 13 Mei- Inisiatif Payung Rahmah yang mula dilaksanakan sejak Januari lalu memberi impak positif dalam rantaian ekonomi negara.
Ia sekali gus mewujudkan senario menang-menang dalam kalangan pemain industri.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub menyifatkan pelaksanaan inisiatif itu memberi nilai tambah kepada perbelanjaan isi rumah.
Bukan sahaja meringankan beban kewangan, malah mampu memberi peluang kepada keluarga terlibat mendapatkan produk dan perkhidmatan lain pada harga lebih rendah.
"Ramai datang berbanding keadaan biasa membeli belah, jadi ini juga membantu ekosistem ekonomi menjadi lebih rancak.
"Jadi Alhamdulillah Payung Rahmah menjadi jentera ekonomi yang dapat menjana, bagi mewujudkan rantaian ekonomi pembelian yang sihat. Semua menang, industri dapat tingkatkan jualan, rakyat dapat menikmati harga yang telah diberi potongan," katanya.
(Datuk Seri Salahuddin Ayub)
Terdahulu beliau menjadi tetamu di konti TerengganuFM.
Sementara itu, Salahuddin berhasrat menjadikan anak muda sebagai Duta Rahmah sejajar manfaat yang diperoleh melalui pelbagai inisiatif, bawah Payung Rahmah.