PUTRAJAYA, 25 Oktober- Inisiatif Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) yang dicetuskan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kini diperluas menggunakan kemudahan van bergerak berbanding bas sebelum ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya akan menyediakan 11 van MEKAR bagi tahun ini untuk kemudahan rakyat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
Menurutnya, kemudahan itu akan menampung pelbagai perkhidmatan JPN termasuk pendaftaran MyKad, sijil kelahiran dan kematian selain 212 pejabat pendaftaran di seluruh negara.
"212 pejabat tetap ada. Namun, jika ada dalam kalangan rakyat kita yang tinggal jauh di kawasan pedalaman, maka JPN akan pergi ke lokasi mereka.
Jadi inisiatif MEKAR ini, adalah 'program outreach' yang sangat popular dan menerima sambutan menggalakkan. Oleh itu, model van yang baharu kita luncurkan itu akan mencapai angka 11 buah bagi peruntukan tahun ini," kata Saifuddin kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jubli Intan JPN ke-75, di sini.
Program MEKAR diperkenal untuk menangani isu keciciran pemilikan dokumen pengenalan diri dan ia memudahkan urusan pendaftaran kepada golongan yang tiada keupayaan untuk hadir ke pejabat JPN.
Program itu memberi manfaat kepada kumpulan sasar sejak Januari hingga 15 Oktober 2023, dengan 1,506 program telah dilaksanakan di seluruh negara serta 40,000 permohonan sudah diterima.