fb fb fb fb fb

Inisiatif Kemudahan Rakyat, 502 projek diluluskan

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR, 23 November- Sebanyak 1,500 projek Insiatif Kemudahan Rakyat (IKR) diluluskan secara prinsip, setakat 22 November.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 502 projek telah diluluskan bersama agensi pelaksana dengan jumlah peruntukan RM76.3 juta.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata hasil siasatan di lapangan bagi baki projek yang belum dipersetujui untuk dilaksana masih diteliti bersama agensi terlibat seperti pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Untuk baki projek-projek lain, ada lebih kurang 1,000 yang masih lagi menunggu maklum balas dan juga penerimaan daripada agensi pelaksana, Kementerian Ekonomi masih meneruskan tindakan susulan dengan pelbagai agensi pelaksana yang dilantik bagi mendapatkan maklum balas terkini bagi pelaksanaan baki-baki projek yang telah diluluskan.

"Sehingga kini daripada RM76.3 juta yang telah diluluskan untuk 502 projek tersebut, sebanyak RM57.2 juta telah disalurkan bagi pelaksanaan di seluruh Malaysia.

Berdasarkan pecahan agihan perbelanjaan 502 projek IKR yang telah diluluskan, Sabah menerima peruntukan terbesar iaitu, RM21.6 juta dan diikuti Perak, sebanyak RM7.2 juta.

Inisiatif Kemudahan Rakyat dilancar pada Jun 2023 bagi memudah dan mempercepat pelaksanaan projek-projek kecil untuk kemudahan rakyat dengan jumlah perbelanjaan RM200,000 dan kebawah.

ROSLINA BINTI DIN