RANTAU PANJANG, 23 November- Pasir Mas menjadi jajahan terbaru di Kelantan terkesan akibat banjir selepas Pasir Puteh dan Bachok.
Menerusi InfoBencanaJKM, 32 penduduk melibatkan tujuh keluarga dari Kampung Tersang, Rantau Panjang dan kawasan sekitarnya dipindahkan lewat malam tadi.
Mereka kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Tok Deh, Rantau Panjang.
"Setakat pukul 12.00 tengah hari tadi, pertambahan itu menyaksikan penduduk terjejas yang berada di PPS membabitkan tiga jajahan terlibat meningkat kepada 405 orang.
"Kesemuanya ditempatkan di tujuh PPS.
"Jajahan Pasir Puteh paling terjejas banjir dengan menempatkan 312 orang di PPS, diikuti Bachok (61), manakala selebihnya di Rantau Panjang, Pasir Mas," katanya.
Sementara itu, paras bacaan air di Sungai Golok, Rantau Panjang telah melepasi paras bahaya iaitu 9.12 meter, manakala sungai- sungai utama lain masih normal.