fb fb fb fb fb

Inisiatif CEMI sokong penganjuran konsert, acara berskala besar di Malaysia

Datuk Fahmi Fadzil/ BERNAMA

PETALING JAYA, 18 April- Kementerian Komunikasi mengumumkan inisiatif baharu iaitu Concert and Event in Malaysia Incentives (CEMI) insentif berbentuk rebat kewangan sebanyak RM10 juta setahun untuk menyokong penganjuran konsert dan acara berskala besar serta berimpak tinggi di Malaysia.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pelaksanaannya akan berkuat kuasa pada 15 Mei ini.

"Program ini dikendalikan oleh MyCreative Ventures (MyCV) dengan sokongan Kementerian Komunikasi, dan memberi tumpuan kepada penganjuran konsert dan acara berimpak tinggi.

"Khususnya yang melibatkan kapasiti melebihi 15,000 penonton dengan penglibatan artis tempatan dan antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Eid Synergy anjuran Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALIFE) di sini.

Dalam pada itu Fahmi menjelaskan beberapa syarat penganjuran perlu dipatuhi antaranya pembiayaan artis antarabangsa, penganjur perlu membelanjakan minimum 20 peratus daripada jumlah Qualifying Malaysian Concert and Event Spend (QMCES) dengan penglibatan sekurang-kurangnya 30 peratus rakyat Malaysia untuk layak mendapat 30 peratus daripada perbelanjaan QMCES sebenar atau maksimum RM1.5 juta (mana-mana yang lebih rendah).

"Perkara ini termasuklah akan diberikan bonus tambahan sebanyak RM100,000 untuk projek yang menggabungkan artis tempatan dan menjual tiket 60 peratus atau lebih, 30 hari sebelum tarikh projek.

"Kemudian barulah rebat itu akan disalurkan sepenuhnya selepas projek selesai dan laporan akhir diluluskan," katanya lagi.

Sementara itu bagi pembiayaan artis tempatan, penyaluran rebat adalah sama, namun penganjur perlu membelanjakan 70 peratus daripada jumlah QMCES di Malaysia untuk layak mendapat 30 peratus daripada perbelanjaan QMCES sebenar atau maksimum RM1 juta (mana-mana yang lebih rendah).

"Kita juga akan memberikan bonus tambahan sebanyak RM100,000 bagi projek yang mencapai jualan tiket 60 peratus atau lebih, 30 hari sebelum tarikh projek dan juga 20 peratus daripada jumlah jualan tiket akhir merupakan pembeli antarabangsa," katanya.

Majlis berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Pengerusi ALIFE Datuk Alan Foo dan Timbalannya Brian Johnson Lowe.

Dalam pada itu kementerian juga akan menambahbaik Garis Panduan PUSPAL (GPP) versi baharu (GPP 6.0) bagi memperkukuh pengurusan acara termasuk memastikan proses permohonan lebih mesra industri, telus, dan efisien.

GPP 6.0 yang akan berkuatkuasa pada 1 Mei ini merupakan langkah penting ke arah membina ekosistem hiburan yang lebih progresif, selamat dan bertaraf antarabangsa.

"Garis Panduan PUSPAL (GPP) mengandungi dasar-dasar kerajaan dan tatacara permohonan serta peraturan-peraturan berkaitan penggambaran filem asing dan persembahan artis luar negara (ALN).

"Elemen yang paling besar dalam penambahbaikan GPP 6.0 adalah berkenaan pengurusan insiden terutamanya melibatkan elemen penamatan persembahan. Banyak sesi libat urus, bengkel dan mesyuarat telah diadakan bagi pemurnian dan penambahbaikan GPP kali ini," katanya.

Bagaimanapun terdapat beberapa bahagian dalam GPP 6.0 turut dipinda mengikut kesesuaian selaras dengan perubahan struktur selain meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.

Antaranya semakan semula kepada tempoh larangan (blackout dates) bagi persembahan berskala besar; pemendekan tempoh permohonan kategori nyanyian/muzik dan pengacara berskala kecil serta kategori promosi daripada 14 hari kepada tujuh hari.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI