fb fb fb fb fb

Gencatan senjata: Malaysia hargai komitmen SAC-NUG elak konflik terus memuncak

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media akhir lawatan kerja selama dua hari atas jemputan rakan sejawatannya dari Thailand, Paetongtarn Shinawatra semalam/Foto PMO

PUTRAJAYA, 18 April – Malaysia menghargai komitmen yang ditunjukkan Majlis Pentadbiran Negara (SAC) dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) Myanmar dalam memastikan konflik bersenjata di negara itu tidak terus memuncak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesediaan kedua-dua pihak itu penting bagi memberi laluan kepada pelaksanaan bantuan kemanusiaan secara aman di tengah-tengah konflik yang berlaku.

“Semangat kedua-dua pihak, SAC dan NUG adalah keutamaan mesti diberikan kepada usaha kemanusiaan dan pembinaan semula.

“Dalam masa yang sama, mereka akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mengelakkan sebarang lanjutan pertempuran.

“Jadi saya mengambilnya dalam semangat itu, saya anggap ini satu pendekatan yang positif.

"Dan saya menghargainya, saya sangat gembira dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka, terutamanya kepada SAC, Jeneral, Perdana Menteri Kanan kerana memberikan pendirian yang tegas agar pasukan kita, sama ada masyarakat sivil mahupun ketenteraan yang membantu, mendapat jaminan jelas untuk menjalankan misi secara aman,” katanya.

Anwar berkata demikian selepas menghadiri menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kewangan hari ini.

Menurut Anwar, sebarang perbincangan lanjut berkaitan isu Myanmar akan dibawa ke mesyuarat bersama pemimpin ASEAN, selaras dengan pendirian konsensus Lima Perkara dan rundingan inklusif melibatkan semua pihak.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan menegaskan perlunya menghentikan pertempuran dan melanjutkan gencatan senjata bagi membolehkan bantuan kemanusiaan segera disalurkan kepada semua komuniti terjejas di Myanmar.

Perkara itu disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri kepada Jeneral Kanan Min Aung Hlaing dalam satu pertemuan rasmi semalam dalam lawatannya ke Bangkok.

Manakala, sebelum pulang ke Malaysia pagi tadi, Perdana Menteri turut mengadakan mesyuarat secara maya selama 40 minit dengan pemimpin NUG Myanmar, Mahn Win Khaing Than.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kedua-dua pihak NUG dan SAC telah berjanji untuk melanjutkan gencatan senjata di negara itu dan memastikan keselamatan petugas kemanusiaan.

Jaminan itu diberikan Min Aung Hlaing dan Mahn Win Khaing Than.

GRACE AISYAH KEDAYAN