fb fb fb fb fb

Draf perintah wajib papar harga ubat sedang disemak AGC- Armizan

Foto Hiasan/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 18 April- Draf perintah yang mewajibkan fasiliti kesihatan swasta memaparkan harga ubat-ubatan kini berada di peringkat semakan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, kaedah pelaksanaan terperinci akan diumumkan selepas draf diluluskan.

"Jangan khuatir peringkat awal penguatkuasaan of course bukanlah kita ambil tindakan terus.

"Kita akan bagi tempoh untuk mereka membuat persiapan, tempoh untuk advokasi dan sebagainya sebelum penguatkuasaan, ambil tindakan, kompaun, saman itu dilaksanakan.

"Of course akan ada tempoh tersebut dan saya kena ingatkan juga ini ya, bahawa NACCOL (Majlis Tindakan Sara Hidup Negara) selepas itu ada memorandum dibentangkan dalam Jemaah Menteri dan memorandum itu adalah memorandum bersama KPDN dan juga Kementerian Kesihatan," katanya di sini.

Pemaparan harga ubat akan dikuat kuasa pada 1 Mei depan dilaksana menerusi perintah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 (Akta 723).

Dalam pada itu, Armizan berkata pelaksanaan dasar mewajibkan fasiliti kesihatan swasta memaparkan harga produk ubat-ubatan bukan bertujuan mengawal harga, sebaliknya bagi memastikan ketelusan kepada pengguna.

Inisiatif itu membolehkan rakyat membuat pilihan berdasarkan kemampuan dan keperluan masing-masing.

Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan sebuah persatuan yang mempersoalkan rasional pelaksanaan dasar tersebut.

"Saya fikir lebih wajar rakyat ada akses dan mereka tahu apa yang mereka bayar sebelum membuat pembayaran tersebut. Jadi kita bukan bertindak bertentangan dengan perundangan tetapi kita bertindak untuk melindungi kepentingan semua pihak.

"Jadi saya harap pihak yang berkenaan kalau masih mahu push agenda mereka, bantu saya untuk jawab kepada consumer untuk jawab kepada rakyat, kenapa tidak. Kenapa perlu dikecualikan.

"Yang lain harga barangan harga emas semua jenis barangan dipaparkan harganya, tetapi kenapa perlu ada pengecualian pula harga ubat tidak boleh," katanya lagi.

Tambah beliau, usaha itu sekali gus memperkasa kebertanggungjawaban serta memperkukuh hak pengguna dalam sektor kesihatan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM