fb fb fb fb fb

Inisiataif Malaysia Digital letak Malaysia di hadapan dalam sektor ekonomi digital

KUALA LUMPUR, 3 Julai- Inisiatif Malaysia Digital yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok adalah isyarat kepada dunia bahawa Malaysia bersiap siaga meletakkan negara di hadapan dalam sektor ekonomi digital.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, negara yang mengambil peluang membuat pelarasan dari segi mekanisme dan keupayaan menghadapi ekosistem ekonomi digital baharu pascapandemik COVID-19 akan berada di hadapan dalam persaingan sejagat. 

"Amatlah bertepatan bagi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memberi fokus bukan sahaja penghargaan tetapi selanjutnya memberi fokus dengan tumpuan dan penekanan baharu bermula dari sekarang bagi 25 tahun akan datang.

Adalah tepat kita melancarkan esok satu program, satu rancangan yang melambangkan iltizam dan komitmen negara kita untuk menangani dan menguasai ekosistem yang baharu ini," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Penghargaan Industri Ekonomi Digital Malaysia sempena Sambutan Jubli Perak MDEC.

(Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia)

Malaysia Digital adalah program MDEC yang dipertingkat bagi menggantikan MSC Malaysia yang telah wujud selama 25 tahun.

Tambah beliau, sejak penubuhan MDEC 25 tahun lepas sehingga Disember 2020, agensi itu telah berjaya menarik pelaburan bernilai lebih RM384 bilion, menjana pendapatan hampir RM600 bilion, mencatatkan jumlah eksport sebanyak RM212 bilion dan mewujudkan lebih 180,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi.

Selain itu, beliau berkata komitmen MDEC dalam memacu sektor e-dagang menyaksikan nilai transaksi e-dagang negara mencecah RM1 trilion buat pertama kali pada 2021, iaitu peningkatan lebih 20 peratus berbanding 2020.

"E-dagang juga menyumbang 11.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berdasarkan pada tahun 2020 berbanding 8.5 peratus sahaja pada 2019. Ini adalah data yang menunjukkan e-dagang adalah satu daripada sektor yang sedang berkembang dengan pesat.

Begitu juga dalam bidang lain termasuk industri kreatif, pada masa ini terdapat lebih daripada 300 studio industri kreatif dan sebagainya," katanya lagi.

Sempena sambutan Jubli Perak ini, buat julung kalinya, MDEC menganjurkan Majlis Anugerah Penyampaian Penghargaan Industri Ekonomi Digital Malaysia 2022.

Ia bertujuan mengiktiraf dan menghargai agensi serta penggiat industri yang menyokong perbadanan itu sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekosistem digital di Malaysia.

Media Baharu