fb fb fb fb fb

Industri Sarawak perlu sedia berubah, seiring peralihan tenaga bersih

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg

KUCHING, 4 Oktober - Pemain industri faundri dan kejuruteraan di Sarawak berlu bersedia menerima perubahan, mengadaptasi teknologi dan tenaga boleh baharu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha tersebut dilihat mampu menyokong pembangunan ekonomi hijau khususnya di negeri itu.

"Sarawak turut ingin mencontohi keberanian China dalam melakukan perubahan serta menerima pakai teknologi baharu.

"Dunia kini berdepan cabaran perubahan iklim akibat pelepasan karbon. Justeru, Sarawak mengambil langkah beralih kepada sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen, hidro dan solar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Persatuan Industri Fondri dan Kejuruteraan Sarawak yang ke-31 di sini malam tadi.

Jelasnya kejayaan sesebuah negara disokong kesediaan rakyat dan industri untuk menerima perubahan serta mengadaptasi teknologi baharu seperti yang dibuktikan China.

Keberanian China bawah dasar keterbukaan ekonomi yang diperkenalkan mendiang Deng Xiaoping telah mengubah negara itu daripada sebuah negara yang mempunyai pencemaran udara yang teruk kepada kuasa ekonomi kedua terbesar dunia.

Ia adalah hasil penerimaan terhadap teknologi baharu dan inovasi tenaga bersih dan seperti yang mahu dibangunkan oleh Sarawak ketika ini termasuk berdepan cabaran perubahan iklim.

Penggunaan tenaga baharu seperti hidrogen bukan sahaja dapat mengurangkan pelepasan karbon, malah menjadikan persekitaran lebih sihat dan udara lebih bersih untuk rakyat.

Peralihan tenaga Sarawak bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan tenaga baharu, malah melibatkan pembangunan industri sokongan seperti fabrikasi aluminium bagi panel solar dan penyelenggaraan sistem tenaga bersih.

Selain itu bidang penyelenggaraan panel solar juga berpotensi menjadi sektor ekonomi baharu kerana memerlukan pembersihan dan servis berkala bagi mengekalkan kecekapan tenaga.

Penggunaan teknologi solar di Sarawak tidak akan terhad kepada bumbung bangunan semata-mata, tetapi turut melibatkan ladang solar terapung dan dinding solar dalam projek perumahan masa depan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI