KLEBANG, 13 Februari - Penggiat industri pembuatan kapal dan bot di seluruh negara disaran memanfaatkan kemudahan dan inisiatif yang telah disediakan kerajaan dalam mengembangkan lagi perniagaan mereka.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong berkata, industri tersebut mempunyai potensi untuk diperluas bukan sahaja dalam pasaran domestik malah antarabangsa.
Kapal dan bot diperlukan pelbagai industri seperti industri perikanan, pengangkutan logistik dan sebagainya termasuklah
pengurusan bencana.
Oleh itu katanya, semua syarikat berkaitan perlu peka terhadap inisiatif yang diperkenalkan kerajaan melalui pelbagai kementerian terutama MITI.
"Jadi memandangkan mereka mempunyai kepakaran dalam menghasilkan bot dan juga kapal maka saya galakkan mereka untuk mengembangkan perniagaan mereka bermula dengan bukan sahaj fokus dalam negeri tetapi fokus mereka kepada pasaran-pasaran sedia ada dan kita memang ada kemudahan yang sedia ada untuk membantu PKS bukan sahaja dalam industri pembuatan kapal dan bot tetapi juga untuk industri-industri yang lain untuk kembangkan untuk lariskan produk mereka ke pasaran luar negara," kata Lim ketika mengiringi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali merasmikan majlis pelancaran Kilang Explorer, Composite di Pulau Gadong.
Dalam pada itu Lim berkata, bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) beberapa industri menjadi fokus untuk dikembangkan termasuklah aeroangkasa, ekonomi digital, ekonomi hijau dan sebagainya.