SEREMBAN, 10 Disember - Industri rel termasuk sektor penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) di negara ini menawarkan kira-kira 25,000 peluang pekerjaan bagi graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sektor TVET di negara ini tidak lagi tertumpu kepada program konvensional dan tradisional tetapi kini menekankan kemahiran tinggi.
Katanya, gaji permulaan bagi pekerjaan dalam sektor permintaan tinggi ini secara purata kira-kira RM3,000 dan menawarkan laluan kerjaya yang cerah.
"Saya sebutkan bahawa di luar sana kira-kira 25,000 peluang pekerjaan dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bersedia untuk melatih pelajar-pelajar ini untuk menerobosi peluang ini.
"Saya telah memberikan penekanan terhadap gaji premium untuk lepasan UniKL dan institusi TVET yang lain untuk bidang rel ini kita berterima kasih kerana gaji minimum dengan syarikat bidang ini adalah RM3,000," kata Ahmad Zahid.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Penyerahan (Handback Ceremony) Bagi Projek Maintenance, Repair and Overhaul (MRO) SCS Class 92 dan Perjanjian Lolaborasi (Collaboration Agreement) Di Antara M Rail Technics (RAILTEC) Dengan Universiti Kuala Lumpur (Unikl), di Depoh EMU Seremban.
Terdahulu, beliau menyaksikan Majlis Penyerahan Semula Set Keretapi Kelas 92 SCS ketiga yang dipulihkan bawah projek MRO yang diusahakan M Rail Technics Sendirian Berhad (Railtec).
Railtech ditubuhkan pada 2021 sebagai usaha sama antara Destini Berhad dan Keretapi Tanah Melayu Berhad untuk menyediakan perkhidmatan MRO yang komprehensif dalam industri rel. Ia adalah syarikat pertama di Malaysia yang menjalankan perkhidmatan MRO Tahap 4.