fb fb fb fb fb

Industri kreatif digital Malaysia rekod eksport berjumlah RM1 bilion pada 2022 - Gobind Singh

Menteri Digital, Gobind Singh Deo pada Hari Industri Kreatif Digital/Foto FB Gobind

KUALA LUMPUR, 6 Mac - Industri kreatif digital Malaysia merekodkan eksport berjumlah RM1 bilion merentasi 120 pasaran dan wilayah pada 2022, dan sektor itu berkembang pada kadar lapan peratus setiap tahun, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, negara memiliki lebih 300 studio yang terlibat dalam animasi, permainan, filem dan pelbagai aspek teknologi kreatif, dengan 20 studio baharu dibuka setiap tahun, serta lebih 180 Harta Intelek (IP) asal Malaysia.

Selain itu, katanya, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) komited di bawah Rangka Tindakan MyDigital dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) untuk menggunakan sejumlah 200 IP dan mencatatkan kadar pertumbuhan eksport lapan peratus dari 2021-2025.

“Angka ini sangat mengagumkan. Industri kreatif digital terbukti menjadi pemacu utama pertumbuhan bagi Malaysia dan mendapat minat yang tinggi.

“Kerajaan Malaysia amat menyedari tentang keperluan untuk memperkukuh kandungan digital. Ini membawa kepada pembentukan Dasar Ekosistem Kandungan Digital, lebih dikenali sebagai DICE, pada 2019,” katanya dalam ucapan beliau pada Hari Industri Kreatif Digital, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata Kerajaan MADANI mengukuhkan komitmennya kepada pemain industri dan akan memacu dan mempercepatkan inisiatif digital negara untuk membantu industri berkaitan berkembang.

Ini penting, katanya, untuk merangsang generasi industri dan tenaga kerja akan datang, serta mengukuhkan ekosistem digital.

“Kami akan mempertingkat dasar DICE tahun ini. Pelan tindakan ini adalah untuk mendorong industri kreatif ke tahap yang lebih tinggi dan akan diterajui oleh Kementerian Digital dan MDEC.

“Saya amat berbesar hati untuk mengumumkan dua program insentif baharu oleh MDEC bagi memangkin industri kandungan digital. Peruntukan sebanyak RM6 juta telah disediakan untuk tujuan ini pada September tahun lalu,” katanya.

Dua program insentif tersebut ialah Brand Metaverse Onboarding Programme dan Immersive IP Experiences Programme yang pada masa ini aktif sehingga 27 Mac 2024.

“Program ini adalah sebahagian daripada visi kami untuk memperkasakan IP, perkhidmatan dan jenama bukan endemik untuk memanfaatkan penggunaan digital negara kita yang semakin berkembang.

"Kementerian Digital bersedia dan tidak sabar-sabar untuk membantu pemain industri mengembangkan jejak mereka dalam ekonomi digital," katanya. - BERNAMA

GRACE AISYAH KEDAYAN