fb fb fb fb fb

Malaysia kemuka lima bidang utama perkukuh hubungan ASEAN-Australia

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri sesi plenari pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Pusat Konvensyen dan Pameran Melbourne (MCEC), hari ini/Foto BERNAMA

MELBOURNE, 6 Mac - Malaysia mengemukakan lima bidang tumpuan bagi mengukuhkan hubungan akrab antara ASEAN dengan Australia.

Antaranya pemerkasaan ekosistem perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) khususnya melalui transformasi digital, pembinaan kapasiti, akses pasaran, amalan mampan, serta penyertaan yang saksama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia melihat potensi besar sokongan daripada Australia untuk memperkasakan ekosistem PMKS ASEAN.

“Di bawah Protokol Kedua Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Australia-New Zealand, kita sewajarnya mempercepatkan penggunaan dan libat urus perniagaan, terutamanya bagi PMKS.

“Malaysia komited terhadap pembangunan PMKS sebagai pemacu bagi pekerjaan, inovasi dan kedinamikan ekonomi," katanya.

Beliau berucap dalam sesi pleno pada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di di Pusat Konvensyen dan Pameran Melbourne (MCEC) hari ini.

Sementara itu, tumpuan kedua yang dibangkitkan termasuk perihal transisi tenaga, demi merealisasikan hasrat Malaysia mencapai peralihan yang saksama dalam sektor teknologi.

Perdana Menteri turut berkongsi bahawa Malaysia akan menjadi hos bersama Forum Kesalinghubungan Maritim dengan Australia dan Korea Selatan pada Jun ini.

Ia antara bidang tumpuan ketiga yang dicadangkan bagi
memantapkan kesalinghubungan ASEAN-Australia.

Datuk Seri Anwar turut menggalakkan kerjasama Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diperluas bertujuan memupuk pembangunan bakat di rantau ini.

“Beralih kepada pembangunan modal insan, saya amat menggalakkan kerjasama mengenai TVET diperluaskan untuk merangkumi disiplin baharu seperti teknologi hijau, Revolusi Perindustrian Keempat, serta kecerdasan buatan AI,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menjelaskan bahawa Malaysia, Australia dan Timor Leste berjaya melaksanakan program pembinaan kapasiti tiga hala pada 2023.

Ia penting bagi memudahcara peralihan Timor Leste kepada keanggotaan penuh ASEAN.

“Pegawai-pegawai kami ketika ini sedang mengadakan perbincangan untuk menjalankan program kedua yang akan dilaksanakan akhir tahun ini,” katanya.

Sidang kemuncak kali ini dihadiri semua negara anggota ASEAN kecuali Myanmar serta turut disertai tiga negara jemputan melibatkan New Zealand, Timor Leste dan Papua New Guinea.

GRACE AISYAH KEDAYAN