fb fb fb fb fb

Industri E&E, sumbang 6.7% terhadap KDNK 2023

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong

KUALA LUMPUR, 11 Mac- Industri Elektrikal dan Elektronik (E&E) menyumbang sehingga 6.7 peratus terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar, (KDNK) pada 2023.

Bagi tempoh sama, sektor itu menyumbang sebanyak 47.3 peratus menerusi keseluruhan eksport barangan negara bernilai RM575.45 bilion.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata usaha memperkasa ekosistem sektor itu terus dipergiat, dalam mempertingkat ekonomi negara.

Usaha itu termasuk menggalakkan pembangunan bakat di peringkat universiti.

"Demi membangunkan banyak bakat, platform universiti adalah sangat penting. Kita perlu wujudkan suatu suasana gaji yang lebih tinggi terutamanya industri semi konduktor itu."

"Itu yang kita hasratkan dalam NIMP bahawa menjelang tahun 2030, purata kadar gaji boleh capai RM4,510," kata Liew di Parlimen, hari ini.

Turut diwujudkan, Pasukan Petugas Strategik Semikonduktor Kebangsaan, yang dianggotai pelbagai kementerian, agensi dan pemain industri, bagi memacu penambahbaikan kepada tiga aspek iaitu insentif, bakat serta ekosistem industri E&E.

Penyataan itu bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Dr Wira Ku Abd Rahman Ku Ismail.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM