fb fb fb fb fb

Industri buluh berpotensi jadi sumber ekonomi baharu negara

Gambar hiasan

SERDANG, 14 Mei - Industri buluh di negara ini dikenal pasti berpotensi menjadi sumber ekonomi baharu negara, namun pelaksanaannya masih di peringkat awal dan berdepan pelbagai cabaran teknikal serta struktur.

Pensyarah Jabatan Sains Perhutanan, Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB), Prof. Madya Dr. Ong Kian Huat berkata, buluh memberi manfaat dari sudut kelestarian alam sekitar.

Selain itu, buluh juga digunakan dalam pembuatan bahan binaan, pulpa dan kertas, makanan serta produk kraf.

“Buluh memainkan peranan penting dalam penyimpanan karbon, pengawalan hakisan, pemuliharaan biodiversiti dan berpotensi menyokong aktiviti ekopelancongan,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Bagaimanapun, beliau berkata penanaman buluh secara komersial masih bergantung kepada panduan antarabangsa tanpa garis panduan khusus yang sesuai untuk persekitaran tempatan.

“Isu seperti penyakit tanaman, serangan perosak dan gangguan haiwan ternakan turut menjadi cabaran utama dalam usaha memperluaskan tanaman ini,” katanya.

Beliau berkata pembangunan industri buluh bermula sejak 2007 menerusi Program Pembangunan Ladang Hutan (PPLH), dan diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) melalui Program Community Farming Buluh yang menyasarkan penglibatan individu, koperasi dan syarikat.

Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) turut melaksanakan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021–2030 yang memberi tumpuan kepada lima teras strategik utama.

Manakala Sarawak melaksanakan pelan induk tersendiri sejak 2020.

Berdasarkan pelan itu, industri buluh di Sarawak dijangka menjana pendapatan eksport mencecah RM200 juta menjelang 2030.

Namun, Dr. Ong menjelaskan bahawa industri ini belum mampu menggantikan kelapa sawit sebagai komoditi utama negara.

Ini memandangkan sumbangan besar sawit terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sektor agrikomoditi.

“Kelapa sawit telah berkembang lebih lima dekad dengan rantaian bekalan dan pasaran yang mantap, manakala industri buluh masih di peringkat asas dan memerlukan masa serta sokongan menyeluruh untuk berkembang,” katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN