fb fb fb fb fb

Indonesia mohon jalin kerjasama dalam sektor kesihatan - MB Johor

Onn Hafiz Ghazi pada Karnival Kejururawatan sempena Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Negeri Johor hari ini

JOHOR BAHRU, 30 Mei- Indonesia memohon agar satu jalinan kerjasama diwujudkan antara Kepulauan Riau dan Kerajaan Johor bagi meningkatkan mutu sektor kesihatan di kepulauan berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, permintaan itu dizahirkan kerana Indonesia memandang tinggi terhadap sektor kesihatan di negeri itu.

Perkara tersebut disampaikan kepada beliau oleh Gabenor Kepulauan Riau, Ansar Ahmad dan Datuk Bandar Batam, Muhammad Rudi semasa pertemuan mereka baru-baru ini.

"Sektor kesihatan (Johor) berada dalam keadaan baik dan membanggakan sehingga Kepulauan Riau meminta kita hantar doktor-doktor, jururawat-jururawat kita ke sana.

"Malah Arab Saudi, China, Singapura dan sebagainya (dilapor) banyak 'mengintai-intai' kita di sini," katanya ketika berucap semasa Karnival Kejururawatan sempena Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Negeri Johor di sini yang disertai lebih 1,000 jururawat.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengamal kesihatan di Johor kerana memilih untuk kekal berkhidmat di negeri itu, meskipun mendapat permintaan dari negara-negara lain.

Dalam perkembangan lain, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon memakumkan bahawa pelaburan daripada Hospital dan Kumpulan Kesihatan Swasta di negeri itu memainkan peranan penting untuk menjayakan Sektor Pelancongan Kesihatan Johor menjelang Tahun Melawat Johor 2026.

Ia melibatkan penambahan bilangan katil di fasiliti kesihatan mereka, seterusnya meningkatkan bilangan pelancong kesihatan di Johor. Antara pelancong yang disasarkan adalah pesakit dari Kepulauan Riau.

Tambah Soon, jawatankuasa khas terlibat juga telah berjumpa dengan pemain industri bagi mencari kaedah untuk meningkatkan kapasiti pelancong kesihatan.

Tahun lalu, Sektor Pelancongan Kesihatan Johor menyumbang RM143 juta kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri Johor.

SITI AISHAH MD ISA