fb fb fb fb fb

Individu berumur 60 tahun dan ke atas boleh menerima dos penggalak kedua

PUTRAJAYA, 12 Mei - Jawatankuasa Kerja Teknikal (TWG), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesyorkan berkenaan pemberian dos penggalak kepada individu berumur 60 tahun dan ke atas boleh dibuat secara sukarela dalam tempoh 4 hingga 6 bulan selepas menerima suntikan dos penggalak pertama.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menerusi kenyataan memaklumkan Individu dewasa berumur 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk seperti penyakit kronik jantung, paru-paru, buah pinggang, hati dan lain-lain boleh ditawarkan dos penggalak kedua dalam tempoh sama (4 hingga 6 bulan) selepas menerima suntikan dos penggalak pertama selepas berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.

Beliau berkata remaja berumur 12 hingga 17 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk seperti pesakit kronik jantung, paru-paru,buah pinggang, hati dan lain-lain boleh ditawarkan dos penggalak pertama dalam tempoh 4 hingga 6 bulan selepas menerima suntikan dos primer selepas berbincang dengan pengamal perubatan berdaftar.


(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin)

"Seperti yang dijelaskan sebelum ini, individu yang telah lengkap menerima dos primer vaksin COVID-19 dan diikuti dengan dos penggalak pertama telah terbukti boleh mendapat perlindungan optima daripada jangkitan COVID-19 yang teruk dan kematian.

"Namun disebabkan berlaku penurunan imuniti dalam tempoh yang tertentu (waning imunity) terutamanya kepada individu di dalam kumpulan rentan, risiko masih lagi tinggi bagi kumpulan ini untuk mendapat jangkitan yang teruk, dimasukkan ke hospital dan seterusnya boleh menyebabkan kematian.

Pengambilan vaksin dos penggalak kedua ini adalah secara sukarela, katanya.

Dalam pada itu, beliau juga memaklumkan bahawa sehingga 9 Mei 2022, seramai 173 orang pesakit COVID-19 diberikan rawatan Paxlovid dan telah sembuh sepenuhnya serta tiada sebarang kesan sampingan dilaporkan.

Penggunaan ubat antiviral Paxlovid telah dimulakan sejak 15 April 2022 bagi merawat pesakit COVID-19.

Jelasnya ubat tersebut telah dibekalkan untuk rawatan pesakit COVID-19 di 512 buah Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Klinik Kesihatan dan 78 buah hospital kerajaan.


(173 orang pesakit COVID-19 diberikan rawatan Paxlovid dan telah sembuh sepenuhya
serta tiada sebarang kesan sampingan dilaporkan)

"Setakat ini, keutamaan pemberian rawatan Paxlovid adalah kepada kumpulan pesakit COVID-19 berisiko tinggi yang mengalami gejala ringan hingga sederhana.

"Kriteria pesakit COVID-19 yang akan diberi keutamaan adalah seperti berumur 18 tahun dan ke atas, jangkitan COVID-19 Kategori 2 dan 3, tidak memerlukan terapi oksigen dan golongan berisiko tinggi mendapat jangkitan COVID-19 yang teruk.

"Ini termasuklah pesakit diabetes, darah tinggi, buah pinggang, asma dan paru-paru kronik, jantung dan kanser", katanya.

Pengambilan ubat itu perlu dimulakan segera dalam tempoh lima hari sejak mula bergejala untuk keberkesanan optimum bagi mengurangkan risiko komplikasi jangkitan lebih teruk.

"Pesakit COVID-19 dalam kumpulan yang dinyatakan di atas boleh hadir ke CAC di Klinik Kesihatan dan hospital kerajaan terpilih untuk dinilai kesesuaian sebelum boleh dimulakan dengan rawatan Paxlovid", katanya.

Khairy berkata KKM terus komited untuk mempertingkatkan akses rakyat kepada ubat-ubatan bagi tujuan rawatan atau pencegahan penularan COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia dinilai dengan sewajarnya berdasarkanaspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

Media Baharu