fb fb fb fb fb

Imigresen sedia 970,000 buku pasport untuk pembaharuan

(Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud)

KUALA LUMPUR, 22 Mac- Jabatan Imigresen Malaysia telah bersedia untuk pembukaan semula sempadan negara pada 1 April ini terutama dalam menerima kemasukan pelancong asing.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya juga telah menyediakan sebanyak 970,000 buku pasport bagi tujuan pembaharuan Pasport Malaysia Antarabangsa.

Menurut beliau, jumlah itu dijangka mencukupi sehingga Julai depan bagi kegunaan rakyat negara ini yang ingin memperbaharui pasport mereka untuk keluar negara.

Selain itu, semua sistem laluan automatif telah diaktifkan dan pegawai di pintu masuk antarabangsa yang sebelum ini dihantar ke depot-depot sementara yang dibuka sepanjang tempoh pandemik, dipanggil semula.

“Di dalam stok imigresen sekarang ini, kami mempunyai sebanyak 970,000 bilangan buku pasport yang mana jumlah ini dijangka mencukupi sehingga Julai tahun ini dan selepas itu barulah pihak kami akan menambah semula stok buku pasport.

"Bilangan unjuran ini dibuat berdasarkan kepada jumlah statistik pembaharuan pasport dalam negara kita sebelum berlakunya pandemik COVID-19, dan pada ketika itu, jumlah rakyat kita yang memohon dan memperbaharui pasport mereka setiap tahun adalah antara 2.3 hingga 2.5 juta setahun,” katanya dalam program Bicara Naratif yang disiarkan secara langsung di saluran TV1 Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Sementara itu, bagi mengatasi masalah kesesakan di pintu keluar-masuk antarabangsa sempena bulan Ramadan dan musim mengerjakan ibadah umrah bermula April ini, Khairul Dzaimee berkata pihaknya akan menggalakkan para jemaah menggunakan sistem laluan automatik daripada kaunter manual.

(Malaysia membenarkan rakyat dan pelancong asing memasuki negara bermula 1 April ini,
selepas pintu masuk sempadan negara ditutup sejak Mac 2020bagi menangani pandemik COVID-19/FOTO FAIL)


"Bagi mengatasi masalah kesesakan di pintu keluar-masuk antarabangsa sempena bulan Ramadan dan musim mengerjakan ibadah umrah bermula April ini, kita menggalakkan para jemaah menggunakan sistem laluan automatik daripada kaunter manual.

“Ia bagi membolehkan urusan keluar masuk negara berjalan dengan lancar. Selain itu, strategi lain yang akan digunakan ialah kami akan membuka kaunter khas bagi jemaah yang tidak berupaya menggunakan ‘autogate’,” katanya.

Jelasnya lagi pihaknya menjangkakan peningkatan pelancong asing memasuki negara dan akan mengetatkan kawalan kemasukan menggunakan pas lawatan sosial, bagi memastikan tidak berlaku salah guna serta masalah tinggal lebih tempoh.

Pelancong harus mengemukakan bukti mereka mempunyai tempat tinggal di Malaysia, wang sara diri mencukupi, dan hanya untuk melancong dengan mempunyai jadual perjalanan.

Media Baharu