PENDANG, 22 Mac- Musibah yang menimpa penduduk di Felda Sungai Tiang, Pendang, Kedah yang dilanda ribut baru-baru ini terus mendapat perhatian pelbagai pihak.
Tidak terkecuali, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sungai Tiang yang menghulurkan sumbangan termasuk pek makanan kepada penduduk terlibat.
Exco Kerajaan Negeri merangkap ADUN Sungai Tiang, Dato’ Suraya Yaacob berkata bantuan tersebut diagihkan kepada semua penduduk yang terlibat di rumah masing-masing.
"Sebelum ini bantuan awal telahpun disalurkan dari semasa ke semasa kepada penduduk yang terjejas. Saya berharap pihak berkaitan dapat menyalurkan bantuan segera bagi membaik pulih rumah penduduk khususnya yang mengalami kerosakan teruk dan tidak mampu dibaik pulih sendiri," kata Suraya Yaacob kepada pemberita RTM.
(Exco Kerajaan Negeri merangkap ADUN Sungai Tiang, Dato’ Suraya Yaacob turun padang memberi sumbangan kepada penduduk terjejas)
Kejadian ribut dan hujan lebat yang berlaku pada petang Sabtu lalu menyebabkan 91 buah rumah terjejas melibatkan anggaran nilai kerosakan melebihi RM234,000.
19 rumah mengalami kerosakan teruk melibatkan nilai kerosakan antara RM5,000 hingga RM15,000 manakala 34 rumah melibatkan nilai kerosakan berjumlah RM2,500 dan 38 rumah melibatkan nilai kerosakan berjumlah RM500.
Selain rumah penduduk, balai polis, sekolah, pejabat pos, klinik kesihatan, pusat kokurikulum dan masjid turut mengalami kerosakan dalam kejadian tersebut.