fb fb fb fb fb

IMF unjur pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 4.3 peratus

KUALA LUMPUR, 18 Oktober- Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Malaysia pada kadar 4.3 peratus.

Sementara itu kerajaan menyasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia diunjur berada pada empat hingga lima peratus tahun depan.

Ketua Bahagian Kajian Serantau Asia Pasifik IMF Shanaka Jay Peiris berkata, pertumbuhan itu didorong permintaan eksport global yang lebih tinggi, khususnya sektor teknologi.

"Kami menjangkakan ekonomi global dan permintaan eksport meningkat secara beransur-ansur. Namun ia masih rendah. Sektor teknologi juga akan meningkat secara beransur-ansur pada tahun depan.

"Jadi itu akan membantu trajektori pertumbuhan lebih tinggi yang dimiliki di Malaysia pada tahun mendatang," katanya dalam sidang media Tinjauan Ekonomi Serantau IMF bagi Asia dan Pasifik yang dianjurkan secara maya.

Mengenai kadar inflasi, Shanaka Jay Peiris berkata ia telah menyusut secara beransur-ansur dan IMF berpendapat dasar monetari sedia ada perlu dikekalkan, agar inflasi kekal rendah.

Bagaimanapun, langkah subsidi bersasar perlu diberi perhatian selain perkembangan faktor luaran dan perbezaan kadar faedah kerana ia turut menyumbang kepada kesan inflasi.

(Sidang media Tinjauan Ekonomi Serantau IMF bagi Asia dan Pasifik)

Media Baharu